Top 3 Surah Kegemaran Saya

Bicara soal kegemaran atau kesukaan, setiap manusia punya sudut pandang berbeza. Adakalanya sama, adakalanya tidak sama. Dia suka warna merah, saya suka warna biru. Dia suka makan kek, saya suka makan roti. Dia suka keluar rumah, saya suka duduk rumah. Walau kadang tu tiada sebab alasan kita tiba-tiba menyukai sesuatu itu namun itulah yang dinamakan citarasa manusia itu unik dan berbeza-beza.

Kali ini saya mahu kongsikan antara surah kesukaan saya. Kenapa ada istilah suka pada surah-surah tertentu? Tidaklah saya bermaksud surah lain tidak disukai, namun ketika membaca surah ini, terasa lebih lekat dengan jiwa, seronok baca tafsirnya, boleh habiskan satu surah dengan sekali baca.

1) Surah Yusuf.

Surah ke 12 mengikut turutan penyusunan Al-Quran, mempunyai 111 ayat, antara juzuk ke 12-13 dan merupakan surah Makiyyah iaitu surah yang bertemakan Qasas (kisah-kisah ibrah terdahulu).

Sebab menyukai:

• Berkonsepkan cerita. Dari awal hingga akhir surah menceritakan kisah Nabi Yusuf a.s yang bermula dari titik jatuhnya baginda hingga titik bangkitnya baginda menjadi pemimpin Mesir. Disebabkan penggunaan gaya bahasa bercerita ini lebih mudah, secara langsung mudah faham setiap ayat yang dibaca. Sambil baca sambil terjemah dalam otak. Keasyikannya jadi berganda kerna boleh faham direct jalan ceritanya.

• Ada satu scene yang paling saya tertarik dan menarik iaitu di penghujung cerita pada ayat ke 100. Macam mana kejadian itu akhirnya merealisasikan mimpi Yusuf a.s yang diceritakan pada ayat ke 4 yang menafsirkan—

×Sebelas bintang : Adik-beradik Yusuf a.s. ×Matahari & bulan : Ayah dan ibu Yusuf a.s.

psst..cantikkan bahasa Al-Quran?

• Satu-satunya ayat Al-Quran yang saya ambil sebagai prinsip hidup  iaitulah dari surah Yusuf.

Dipetik dari ayat ke 87;

{ یَـٰبَنِیَّ ٱذۡهَبُوا۟ فَتَحَسَّسُوا۟ مِن یُوسُفَ وَأَخِیهِ وَلَا تَا۟یۡـَٔسُوا۟ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ لَا یَا۟یۡـَٔسُ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡكَـٰفِرُونَ }

Satu pesanan dari seorang ayah kepada anak-anaknya: Jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah.

Bila rasa lemah, lelah, takda harapan nak teruskan hidup saya ingat potongan ayat ini, kenapa saya suka petikan jangan putus asa dari rahmat Allah ini? Maklum bahawa definisi kepada  rahmat Allah itu luas, tersangatlah luas merangkumi semua makhluk. Bayangkan andai setitis sahaja dari pecahan 1/4 bahagian rahmat ini dicabut dari hidup kita, masih banyak berbaki bahagian rahmat yang lain, hanya tinggal kita samada sedar ataupun tidak. Maka, percayalah kita pada sifat Allah yang Ar-Rahman Ar-Rahim pada setiap makhlukNya.

2) Surah Maryam.

Surah ke 19 mengikut turutan penyusunan Al-Quran, mempunyai 98 ayat, antara juzuk ke 16 dan merupakan surah Makiyyah iaitu surah yang bertemakan Qasas (kisah-kisah ibrah terdahulu).

Sebab menyukai:

• Elemen keseragaman kalimah akhir pada setiap ayat. Serupa konsep rima akhir dalam seni puisi melayu kita ketika berpantun. Sebenarnya, pada surah-surah lain pun wujud elemen keseragaman ini contoh macam Surah Ta-Ha. Namun saya suka keseragaman yang ada pada Surah Maryam ini kerna ia bernada lembut. Mari saya ringkaskan,

- Ayat 2 hingga ayat 33 (kecuali ayat 9) dan juga bermula ayat 41 hingga 74 (kecuali beberapa ayat) diakhiri dengan bacaan yaa.

- Bukan itu sahaja, kalau perhati pada ayat 75 hingga 98 (kecuali beberapa ayat) diakhiri dengan bacaan seragam daa. [p/s : kalau sesiapa yang nak cari contoh مد العوض, bukak je surah ni.]

Boleh tengok keseragaman ayat pada gambar di bawah;

Sejujurnya saya tahu pasal keseragaman ini dari ustaz sekolah dulu, sebab itu jugalah Surah Maryam menjadi surah kegemarannya. Beliau siap suruh kami hafal ayat 1 hingga 11 (muka surat pertama surah). Sejak itulah saya rasa *mindblown* dengan bahasa Al-Quran.

• Sebab kedua, tentunya sebab berkonsepkan cerita juga. Kisah Maryam a.s yang masyhurnya dikenali sebagai satu-satunya wanita yang melahirkan anak tanpa suami. Kalau diamati pada reaksi Maryam a.s pada ayat 23, mafhum firmanNya: "ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini..". Bukankah wujud persamaan ini dengan realiti kebanyakan kita pada hari ini? Bagaimana kita juga pernah ada lintasan "Baik aku mati saja" terutama bila dihadapkan dengan ujian yang maha berat. Maka ibrahnya di sini, keluhan Maryam a.s itu bukan untuk menjustifikasikan perbuatan bunuh diri (ia haram sama sekali). Namun keluhannya itu kerna bimbang kejadian ajaib tersebut akan membawa fitnah kepada agamanya. Begitu juga kita, apa saja yang kita lakukan jangan sampai bawa fitnah kepada agama serta penganutnya.

3) Surah Hud.

Surah ke 11 mengikut turutan penyusunan Al-Quran, mempunyai 123 ayat, antara juzuk ke 11-12 dan merupakan surah Makiyyah iaitu surah yang bertemakan Qasas (kisah-kisah ibrah terdahulu).

Sebab menyukai:

• Sebab utama saya menyukai surah ini adalah hasil manfaat daripada kelas Tafsir Tahlili oleh Duktur Thalib Muhammad As-Sharaireh hafizahullah, subjek fasal awal tahun ke-3 universiti dulu. Yang menggunakan silibus tafsir Surah Hud dari kitab masyhur Tafsir As-Sya'rawi.

Menariknya bila start masuk tafsir ayat-ayat yang menceritakan kisah kesungguhan para anbiya' menghadapi kaumnya. Bermula Nabi Nuh a.s → Nabi Hud a.s → Nabi Salih a.s → Nabi Luth a.s → Nabi Syuaib a.s → Nabi Ibrahim a.s, dan kita akan dapati;

×Persamaan pada awal dakwah kesemua nabi ini adalah suruhan tauhid didahulukan sebelum larangan terhadap perbuatan maksiat kaum itu sendiri. Jika diperhatikan pada setiap permulaan kisah Nabi dalam surah ini akan dimulakan dengan ayat أَن لَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ juga ayat  ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُۥٓ ۖ yang membawa erti seruan tauhid buat kaumnya. Sama garis masanya ketika dakwah awal Nabi Muhammad s.a.w kepada penduduk Mekkah, turunnya ayat yang membawa seruan akidah dahulu sebelum turunnya ayat-ayat berkenaan syariah.

×Persamaan pada akibat penolakan serta kesombongan kaum tersebut terhadap seruan tauhid yang dibawa oleh nabi-nabi mereka itu membawa kepada turunnya azab dahsyat ke atas mereka sekaligus melenyapkan terus kaum tersebut dari muka bumi. Maka, bersyukurlah kita umat Nabi Muhammad s.a.w pada hari ini, diberikan penangguhan azab di dunia tidak seperti kaum nabi terdahulu, فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ?

• Sejak mengikuti kelas Duktur Thalib hafizahullah ini lah saya mula berminat dengan ilmu tafsir Al-Quran. Masih ingat perasaan saya setiap kali dengar syarahan duktur, suatu perasaan yang saya boleh gambarkan dengan emoji 😯😲🤯 terlalu banyak moment *mindblown* sampai akhirnya...😍jatuh cinta. Sebab ini jugak saya bawak balik kitab Mukhtashar Tafsir As-Sya'rawi, 4 jilid atas saranan Duktur sendiri untuk memilikinya bagi mereka yang berminat baca kitab tafsir kontemporari. Bahkan Dr. Zulkifli Al-Bakri juga pernah menyarankan untuk baca buku tafsir As-Sya'rawi di dalam kuliah beliau.

+Tambahan surah lain yang menjadi favourite saya juga:
• Surah Al 'Adiyat —Ada disebut haiwan kegemaran saya iaitu kuda.
• Surah Al Kahfi —Ada cerita favourite; Kisah Ashabul Kahfi & Raja Zulqarnain.

***

Sekianlah asbab saya suka 3 surah utama ini. Sebenarnya banyak ibrah yang mahu ditulis hasil dari setiap surah tapi cukuplah saya simpulkan persamaan ibrah yang saya dapat dari ketiga-tiga surah ini ialah  sifat sabar kita kena tinggi.  Setiap jalan cerita hidup manusia ini tidak sama ujiannya yang Allah bagi. Nabi Yusuf a.s diuji dengan adik-beradiknya, orang terdekatnya (isteri Al-Aziz). Maryam a.s diuji dengan situasi di luar tabii manusia hingga membawa kepada fitnah besar dari orang kampung. Kisah nabi-nabi a.s pada surah Hud kesemuanya diuji dengan kaumnya sendiri termasuk ahli keluarga mereka.

Namun, apa reaksi mereka terhadap ujian tersebut? —Sabar. Sabar. Dan sabar lagi.

Satu mesej penting yang mahu disampaikan kepada kita sebagai manusia —untuk bersabar dalam apa jua ujian dan kekal berhusnu-zhan dengan Allah s.w.t. Kerna pada akhirnya bila kita tidak tahu nak buat apa dah, kita akan kembali jua kepada ucapan "Sabarlah wahai diri, Allah kan ada".

Wallāhu'alam.
Pesan diri, pesan orang.

Comments