Kisah Burung Hijau Berparuh Panjang
Suatu hari, sedang saya menunggu seseorang selesaikan urusannya di suatu tempat, tunggu lah saya di luar bangunan, duduk saja di situ dari minit ke minit sambil melihat seorang demi seorang melintasi, saya pula punya habit bila berada di luar atau sedang menunggu orang, jarang sekali saya bermain phone dek suka memerhati pergerakan dan perawakan manusia di sekeliling. Kadang-kadang dari situ pun boleh membuahkan ibrah.
Lenanya saya memerhati gerak-geri manusia yang berganti keluar masuk premis tersebut tibalah waktu di mana seorang lelaki anggaran usia 40-an muncul, sambil menghembus asap rokok, dia menuju ke pintu masuk premis. Namun di tengah jalan dia menghentikan langkah kemudian membongkokkan sedikit badannya seperti mahu mengutip sesuatu. "Kenapa dengan pakcik ni?" fikirku. Lalu lelaki itu bangun dan bergerak masuk ke kawasan teduh sambil meletakkan sesuatu di lantai. Mataku masih ligat memerhatikan kejadian itu. Rupanya sesuatu yang diletaknya itu seekor burung kecil hijau warnanya dan berparuh panjang yang mungkin sayapnya atau kakinya tercedera.
Bersungguh lelaki itu cuba meletakkan burung itu dalam posisi yang baik kemudian barulah dia masuk ke premis untuk meneruskan urusannya di sana.
Saya masih memerhatikan si burung itu kerna kejadian tersebut tidak jauh dari tempat duduknya saya ketika itu. Ia cuba untuk terbang namun gagal. Ia cuba lagi dan kali ini berjaya namun tak sempat ia sampai ke seberang ia kembali jatuh terbaring terlentang di atas jalan tar yang panasnya sangat membahang. Saya hanya memerhati, masih teragak untuk cuba alihkan burung itu ke tempat teduh. Lantas "Kalau dibiarkan nanti ada kenderaan langgar dia macam mana?" rasa bersalah muncul. Beberapa saat berlalu dek bermain dengan andaian sendiri, akhirnya kaki laju melangkah berjalan ke arah terbaringnya si burung kecil. Diangkat kemudian diletak di rumpun rumput di bawah pohon besar di hadapan. Tidak lama, seseorang yang saya tunggu sudah pun selesaikan urusannya lalu kami terus berangkat pulang. Hati merasa senang dan tenang.
Kisahnya ringkas tapi ibrahnya tuntas. Baiknya hati lelaki itu yang pada awalnya saya punya persepsi lain terhadapnya (asbab luaran, pakaian, tabiat) namun siapa tahu hatinya lembut pada hal-hal yang mungkin ringan bagi kita tapi mungkin juga berat timbangannya di sana (siapa tahu). Bagaimana dia juga sekali gus memberi contoh yang baik kepada yang melihat agar punya ihsan juga pada makhluk Allah yang lain. Bukankah sekali gus pahala turut mengalir padanya kerna telah menjadi ikutan pada hal kebaikan?
Amal jariah. Pernah saya mendengar kupasan seorang guru yang mengatakan bagaimana amal jariah ini bukan sahaja pada kebaikan tapi juga pada keburukan. Sebagai contoh kisah anak nabiyullah Adam a.s, yang telah membunuh saudaranya. Dosa jariah turut mengalir pada beliau kerna telah mencetuskan satu perbuatan maksiat selagi mana umat manusia berterusan melakukannya.
Ibrah dari kejadian itu saya dapat tuntaskan :
- Jauhkan dari berpersepsi terhadap personaliti seseorang berdasarkan luaran mereka terutama dari segi pakaian, riak wajah atau tindak balas.
- Jangan tangguh untuk buat baik. Apa sahaja peluang kebaikan terbentang di depan mata, terus ambil kerna boleh jadi amalan ketika itu yang paling berat di mizan nanti.
- Bersangka baiklah pada semua orang dalam setiap kejadian atau apa-apa perkara. Jangan biasakan lintasan yang buruk-buruk pada orang lain apalagi pada mereka yang kita tidak kenal.

Comments
Post a Comment