Belajar Menerima Tujuan Hidup

Bila dibaca dan diamati setiap kisah luahan hidup seseorang di ruang media yang tersedia. Ada yang terpaksa berkorban kemahuan demi keluarga. Ada yang sedang lalui detik ujian dalam rumahtangga. Ada yang rela berkorban kerjaya impian demi ibu bapa, ada yang menjalani hidup sebagai penjaga anak-anak syurga. Begitu banyak kisah tauladan mahupun sempadan yang sentiasa ada sepanjang kitaran hidup manusia.

Ada yang terpaksa menerima, ada yang seakan memberontak, ada yang tidak mampu hadap lagi, ada yang utuh dengan sabar, ada yang reda sepenuh hati. Begitu juga pelbagai reaksi penerimaan manusia terhadap setiap jalan cerita yang terbentang dihadapan mereka.

Apa ibrah dari setiap kepelbagaian ini?

Saya percaya, setiap manusia diciptakan bersebab, tanpa ada istilah 'sia-sia saya hidup'. Berpandukan firman Allah s.w.t : (أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَـٰكُمۡ عَبَثࣰا وَأَنَّكُمۡ إِلَیۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ) [Surah Al-Mu’minûn: ١١٥]  "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

Lagi firmanNya (أَیَحۡسَبُ ٱلۡإِنسَـٰنُ أَن یُتۡرَكَ سُدًى) [سُورَةُ القِيَامَةِ: ٣٦] "Patutkah manusia menyangka, bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?"

عَبَثࣰا itu dari kalimah arab yang memberi maksud : Sia-sia, tidak berfaedah, tidak ada tujuan. Begitu juga kalimah سُدًى memberi maksud sia-sia batil, percuma.

Mesti ada tujuan yang dipikul mereka walau tanpa mereka sedar. Dan setiap tujuan itu tidak sama sama sekali antara satu sama lain. Cop jari kita pun berbeza apatah lagi tujuan hidup kita. Ada mereka yang tidak berkahwin mungkin tujuan hidupnya untuk menjaga orang tua hingga akhir hayat. Adanya mereka sebagai pembina institusi keluarga bagi menyambung legasi keturunan umat manusia. Adanya mereka sebagai saudara yang menjaga kebajikan adik-beradiknya yang masih kecil. Adanya mereka sebagai guru mendidik anak bangsa. Adanya mereka sebagai pengurus pentadbir negara. Adanya mereka sebagai pembangun tamadun dunia. Bahkan adanya mereka sebagai suri tauladan. Ada juga mereka sebagai pedoman buat manusia.

Kita juga tidak terhad pada satu tujuan atau peranan semata-mata. Ada dari kita yang memikul banyak peranan; seorang isteri + ibu + guru + anak + adik + kakak + cucu. Begitulah seterusnya, tujuan kita sentiasa ada malah berubah-ubah. Selagi mana manusia itu bersifat khalifah mukallaf, selagi itu lah kita bertujuan, berperanan.

Ibarat buah catur. Setiapnya ada gerakan dalam memenangkan kumpulan masing-masing. Setiap buah hanya mampu bergerak dengan gerakan yang ditetapkan sahaja, tidak boleh memampukan diri dengan gerakan buah lain (kerna hal itu bahkan tidak memberi manfaat). Gerakannya tidak melebihkan juga tidak mengurangkan gerakan rakan kongsi yang lain. Hatta buah catur Pawn yang dikira 'paling kurang berguna' pun sebenarnya memberi impak kepada buah catur King yang dikira 'paling berguna'.

Kadangkala kita sendiri sedar apa peranan/tujuan kita hidup tapi kita susah nak terima bila kita selalu bandingkan hidup kita dengan orang lain. Kita nak lebih lagi walhal kemampuan kita tidak lebih. Betul, belajar menerima tujuan hidup itu sakit. Apa lagi bila hidup kita penuh dengan jarum, duri, pintu yang berlapis-lapis, terowong yang tiada penghujung. Seolahnya tiada jalan untuk keluar dari tujuan hidup yang sedia ada, yang sering kita anggap tidak ada.

Tapi, percayalah semua ini berhikmah. Ada ganjaran pahala yang ingin diberikan olehNya kerna saya percaya Allah nak bagi pahala dekat kita-kita ni, banyak caranya. 

Wallāhu'alam.
Pesan diri, pesan orang.

Comments